Saturday, November 28, 2009

kiamat kecil 5




assalamualaikum..

Kematian adalah suatu peristiwa yang pasti di lalui orang setiap individu manusia. Apabila seseorang meninggal dunia, roh mereka akan keluar daripada jasadnya. Bagi orang-orang yang beriman, mereka akan menghadapi sakaratul maut dengan tenang dan mudah, dan sebaliknya bagi orang-orang yang tidak beriman. Seterusnya roh mereka yang beriman akan berbau harum dan wangi, manakala yang tidak beriman pula, roh mereka berbau busuk.




Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang menjelaskan keadaan roh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Baginda s.a.w menjelaskan bahawa seorang mukmin yang menghadapi sakaratulmaut akan datang kepada malaikat yang membawa sehelai kain sutera putih lalu berkata : Keluarlah, wahai roh yang bersih di dalam keadaan redha lagi diredhai kepada kegembiraan dan kepuasan dan Tuhan yang tidak murka.Maka roh itu akan keluar berbau wangi, lebih wangi daripada bau-bauan misk sehingga dia akan menyentuh setengah mereka kepada setengah yang lain, hinggalah dia dibawanya ke pintu langit. Para malaikat sekalian akan mengatakan : Alangkah wanginya bau-bauan yang datang dari bumi ini! Kemudian roh tersebut terus dibawakan kepada roh-roh kaum Mukminin. Manakala bagi roh orang kafir pula, apabila dia menghadapi sakaratulmaut akan datang kepadanya malaikat siksa dengan membawa kain guni yang kasar, lalu berkata : Keluarklah, wahai roh yang jahat di dalam keadaan dimurkai, dan pergilah kepada siksa Allah. Maka roh itu akan keluar berbau busuk seperti bau bangkai, sehinggalah di bawakan ke pintu bumi. Maka para malaikat berkata : Alangkah busuknya bau roh ini. Kemudian roh yang jahat tadi akan dibawa kepada roh-roh kaum kafir. (Hadis ini dari riwayat An-Nasa’i, Al-Bazzaar dan Muslim secara ringkas sahaja).


Maksud hadis ini jelas menunjukkan perbezaan yang amat ketara di antara roh-roh orang yang beriman dan roh-roh orang kafir. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai “roh” itu? Ramai individu mengetahui bahawa apabila seseorang manusia meninggal dunia, rohnya akan keluar dari jasad. Tetapi, apakah sebenarnya roh itu? Sesungguhnya Allah S.W.T yang lebih mengetahui hakikat sebenar kejadian roh itu. Sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Isra’;

Maksudnya:“Mereka bertanya kepada engkau tentang roh! Katakanlah (wahai Muhammad!) bahawa roh itu adalah dari urusan Tuhanku dan kamu tiada di berikan pengetahuan mengenainya melainkan sedikit sekali” (Surah Al-Isra’ : 85)


Ayat ini jelas memberitahu umat manusia bahawa ilmu pengetahuan mengenai roh adalah terbatas bagi akal fikiran manusia. Kita sebagai umat Islam hendaklah mempercayai kejadian roh yang diciptakan yang akan terpisah dari jasad kita apabila tiba masanya nanti iaitu kematian. Kita wajib mempercayai bahawa roh akan menghadapi alam Barzakh dan alam akhirat yang lain seperti padang Mahsyar, titian sirat, serta syurga dan neraka. Alam Barzakh merupakan tempat persinggahan bagi setiap roh. Dalam erti kata lain, alam Barzakh merupakan satu dinding pemisah di antara dua alam (alam dunia dan akhirat) yang merupakan tempat tinggal bagi setiap roh sebelum tiba Hari Kebangkitan atau Hari Kiamat. Asal maksud Barzakh di dalam bahasa Arab ialah segala sesuatu yang memisahkan di antara dua perkara.


Roh-roh para mukminin akan berada di alam Barzakh yang luas dan penuh ketenangan dan kenikmatan. Sedangkan roh-roh orang kafir pula berada di alam Barzakh yang sempit, yang di dalamnya penuh dengan pelbagai kesulitan dan kesengsaraan. Firman Allah S.W.T yang menyebut mengenai kewujudan alam Barzakh juga jelas terdapat di dalam Al-Quranul Karim antaranya :

Maksudnya:
“Dan di hadapan mereka terdapat alam Barzakh, iaitu dinding yang membatasi hingga ke hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah Al-Mukminun : 100)


Selain itu, setiap roh yang beriman terutamanya para syuhada akan beroleh kebahagiaan di alam akhirat iaitu balasan syurga yang penuh kenikmatan yang telah disediakan oleh Allah Taa’la. Ini adalah ganjaran yang dijanjikan Allah setimpal dengan apa yang dilakukan sepanjang hidup di dunia antaranya bersifat taqwa kepada Allah dan amal soleh. Manakala, keadaan sebaliknya bagi roh orang kafir. Mereka akan beroleh azab siksa di dalam neraka Allah S.W.T, diatas kekufuran dan kemaksiat yang dilakukan semasa menjalani kehidupan semasa di dunia dahulu.
Roh merupakan suatu perkara yang sukar untuk difahami di kalangan umat manusia, lebih-lebih lagi persoalan mengenai roh orang yang sudah meninggal dunia dengan roh orang yang masih hidup. Adakah roh orang yang hidup boleh bertemu dengan roh orang yang mati, atau sebaliknya? Dalil-dalil kepada persoalan ini amat banyak sekali terutamanya di dalam Al-Quran. Selain itu, perkara ini dapat dibuktikan melalui peristiwa-peristiwa tertentu seperti mimpi. Sebagai contoh, orang yang hidup kerap melihat orang yang mati di dalam tidurnya, lalu dia bertanyakan soalan kepadanya, maka orang mati itu memberitahu berbagai-bagai berita yang tidak diketahui oleh orang yang hidup tadi. Misalnya di dalam kisah Abdullah bin Umar bin Abdul Aziz berbicara dengan ayahnya yang sudah mati di dalam mimpinya. Beliau berkata : “Aku telah bermimpikan ayahku sesudah kematiannya, seolah-olah dia sedang berada di sebuah taman. Kemudian dia menghulurkan kepadaku beberapa biji buah epal. Maka aku takwilkan dengan mendapat seorang anak. Aku pun bertanya kepadanya : Amalan yang mana lebih utama? Jawabnya : Mohon pengampunan, wahai anakku!”


Firman Allah dalam Surah Az-Zuma:
"Allah (yang Menguasai segala-galanya), ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: Dalam masa tidurnya; kemudian ia menahan jiwa orang yang ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).(Surah Az-Zumar : 42)


Terdapat dua pendapat mengenai tafsiran ayat di atas. Pendapat yang pertama menyatakan bahawa “roh yang ditahan” itu ialah roh orang yang mati apabila tiba ajalnya, dan “roh yang dilepaskan” pula ialah roh orang mati di dalam tidur. Tidur juga merupakan kiamat kecil bagi setiap manusia selain kematian. Maksudnya, jiwa si mati itu ditahan dan tidak dilepaskan kembali kepada jasadnya sebelum tiba Hari Kiamat. Manakala orang tidur pula turut merasa “kematian” ( keluar rohnya ketika tidur) tetapi kemudian Allah melepaskan jiwanya kembali kepada jasadnya kerana belum tiba waktu ajalnya lagi, kemudian barulah dimatikan sekali lagi dengan kematian yang sebenar.


Pendapat yang kedua pula, menafsirkan bahawa kedua-dua roh yang mati dan yang hidup dimatikan melalui “kematian tidur”. Sesiapa yang telah cukup waktu ajalnya ditahan oleh Allah, dan tidak dilepaskan kembali kepada jasadnya. Dan sesiapa yang belum tiba waktu ajalnya, dilepaskan kembali kepada jasadnya oleh Allah S.W.T.


Pada hakikatnya, ayat ini boleh memberi dua makna yang berlainan, kerana Allah telah menyebut mengenai dua jenis kematian iaitu kematian tidur dan kematian maut (yang sebenar). Kemudian disebut juga tenteng penahanan roh yang sudah mati, dan pelepasan roh yang lain. Kesimpulannya, bahawa jiwa yang sudah mati itu memang ditahan oleh Allah, sama ada dia mati ketika tidur ataupun dalam keadaan berjaga. Manakala, jiwa yang masih belum mati dilepaskanNya kembali kepada jasadnya. Ayat ini juga membuktikan roh juga boleh ditahan dan dibebaskan bukan hanya orang yang hidup boleh berbuat demikian.


Kesimpulannya, roh merupakan perkara ghaib yang wujud di alam ini yang juga merupakan makhluk ciptaan Allah Taa’la. Namun, ilmu pengetahuan mengenai hakikat roh ini amat terbatas untuk akal seseorang individu. Hanya Allah sahaja yang mengetahui hakikat sebenar kejadian roh ini. Roh orang-orang yang beriman akan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan dengan diluaskan kuburnya ketika di alam Barzakh di samping mendapat ganjaran syurga Allah S.W.T sebagai balasan kepada amal soleh dan ketaatan kepada perintahNya. Keadaan sebaliknya bagi roh yang tidak beriman. Mereka akan menerima siksaan dari alam Barzakh lagi dengan di sempitkan kubur dan mendapat neraka Allah S.W.T. Oleh itu, kita sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa mentaati dan mematuhi segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.



0 comments:

Post a Comment