sedikit coretan buat teman2 untuk sama2 kita merenungi dan saling mengingati. insyaAllah.
Beriman kepada Hari Kiamat merupakan perkara yang wajib bagi setiap umat Islam kerana ia merupakan rukun iman yang kelima. Justeru itu, barangsiapa di kalangan umat Islam yang mengingkarinya akan termasuk di kalangan orang-orang yang kafir, sebagaimana firman Allah Taa’la di dalam surah An-Nisa’, 136:
“ Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab-kitab yang diturunkan-Nya kepada Rasul-Nya, serta kitab yang diturunkanNya sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan Hari Akhirat, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya”
Namun begitu, kiamat terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
1. Kiamat Kubra ( Kiamat besar )
2. Kiamat Sughro ( Kiamat kecil )
Kiamat Kubra bermaksud kiamat besar. Perkataan ‘Kubra’ berasal daripada perkataan bahasa Arab “kabara-yakburu-kabron” yang bermaksud besar. Kiamat besar merupakan kiamat menyeluruh yang disebut di dalam Al-Quran. Pada waktu inilah seluruh makhluk di langit dan di bumi akan hancur-lebur dan binasa. Firman Allah Taa’la:
“Setiap yang ada di bumi akan binasa.Dan akan tetap kekal zat Tuhanmu yang memepunyai kebesaran dan kemuliaan” (Surah ar-Rahman:26-27)
Para ulama berpendapat bahawa dengan turunnya Nabi Muhammad s.a.w ke dunia menandakan hari kiamat telah hampir. Ini kerana baginda merupakan khotaman nabiyin (penutup kepada nabi-nabi). Juga sempurnanya syariat Allah yang menjadi pedoman manusia untuk hidup di muka bumi. Ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj, baginda s.a.w telah dipanggil oleh seorang wanita yang terlalu tua tetapi baginda tidak menyahutnya. Lantas baginda bertanya kepada Jibril a.s siapakah perempuan tua tersebut. Lalu Jibril menjawab itulah dunia dan perempuan tua tersebut ialah umur dunia.
Dalam membincangkan “waktu hampir kiamat” tidak ada satu kayu ukur yang jelas. Kalau mengambil kira kerasulan Nabi s.a.w bermakna telah 1429 tahun tapi dunia masih belum kiamat lagi. Ini sesuai dengan firman Allah :
“…sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun dari tahun-tahun yang kamu hitung” (Surah al-Hajj:47)
Bila kejadian kiamat berlaku, hanya Allah saja mengetahui. Selepas berlakunya Hari Kiamat, seluruh manusia akan dibangkitkan semula di padang mahsyar untuk dihisab segala perbuatan dan amalan yang dilakukan sepanjang hidup di dunia walaupun hanya sekecil zarah. Sebagaimana firman Allah Taa’la dalam al-Quran:
“ Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihatnya ( balasannya ). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah sekalipun nescaya dia akan melihatnya( balasannya). (Surah al-Zalzalah: 7 & 8)
Manakala, Kiamat Sughro pula ertinya kiamat kecil. Perkataan “sughro” berasal dari perkataan bahasa Arab “ soghuro-yasghuru-sighoron” yang membawa maksud kecil.Kiamat kecil ialah satu istilah yang digunakan bagi seseorang yang mengalami sesuatu peristiwa ketika orang itu meninggal dunia atau ketika orang itu ditimpa musibah yang hebat. Selain itu,kiamat kecil juga membawa maksud perpindahan alam dari dunia ke barzakh. Rasulullah Sallallahu A’laihi Wasallam pernah bersabda :
“ Orang yang mati telah datang kiamatnya sendiri “
Kematian merupakan salah satu daripada kiamat kecil yang dialami manusia. Apabila seseorang itu mati, rohnya akan keluar dari jasadnya. Peristiwa ini disebut sebagai ‘Sakaratul Maut’. Malaikat yang ditugaskan oleh Allah Taa’la untuk mencabut nyawa atau roh manusia ialah Malaikat Izrail a.s. Ia akan berlaku kepada setiap individu, tidak mengira agama atau bangsa.. Allah S.W.T juga ada menyebut di dalam al-Quran bahawa setiap jiwa manusia itu akan merasai mati.
Kematian adalah akhir daripada kegembiraan dan kesedihan, kekayaan dan kemiskinan, kejayaan dalam hidup dan kegagalan mendapatkan sesuatu, dan apa jua yang dilakukan oleh setiap manusia. Kata pepatah ada menyebut “Setiap orang memiliki tujuan, dan tujuan setiap orang yang hidup adalah kematian.” Oleh itu setiap apa yang dilakukan oleh manusia mestilah sebagai persediaan untuk menghadapi kematian.
Setiap mukallaf hendaklah setiasa bersedia sebelum tiba saat kematian, iaitu dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya, supaya mendapat balasan yang baik di akhirat kelak sebagaimana yang di janjikan oleh Allah Taa’la. Ajal seseorang adalah perkara yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Oleh itu, seseorang manusia tidak boleh menangguh-nangguhkan beribadat dan membuat kebaikan kerana seseorang itu tidak mengetahui bila ajalnya akan tiba.
Pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya:
“Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para nabi yang lalu iaitu sabda mereka :
1-Apabila kamu sedang solat, jagalah betul-betul fikiranmu.
2-Apabila kamu berada di rumah orang lain, jagalah matamu.
3-Apabila kamu berada di tengah-tengah majlis, jagalah lidah kamu.
4-Apabila kamu menghadiri jamuan makan, jaga perangaimu.
5-Ingat kepada Allah S.W.T.
6-Ingatkan mati (buat persediaan sebelum mati)
7-Lupakan budi baik kamu terhadap orang lain.
8-Lupakan semua kesalahan orang lain terhadap kamu.
Perkara-perkara di atas perlu bagi menjadi mukmin sejati yang sentiasa diredhai Allah Taa’la di dunia dan akhirat. Perkara pertama yang di beritahu kepada anaknya ialah solat, kerana perkara yang mula-mula di hisab di akhirat kelak ialah solat. Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Permulaan amalan hamba yang akan diperhitungkan pada hari kiamat ialah solat. Maka jika solatnya diterima, diterimalah semua amalanya yang lain. Dan jika solatnya ditolak, ditolaklah semua amalannya yang lain”
Beliau juga tidak lupa berpesan kepada anaknya supaya mengingati mati dengan cara membuat persediaan sebelum melangkah ke alam Barzakh. Ini menunjukkan mengingati mati adalah perkara yang penting bagi memperolehi kehidupan yang bahagia di akhirat nanti. Selain itu, untuk mendapat kenikmatan kehidupan di akhirat kelak umat Islam hendaklah beriman kepada keenam-enam Rukun Iman di samping melaksanakan kesemua Rukun Islam.
Mengingati kematian merupakan langkah terbaik bagi seseorang muslim bagi menjalani kehidupan dengan melakukan amal soleh dan menjadi insan yang sentiasa bertaqwa kepada Allah Taa’la. Dengan mengingati mati, seseorang muslim itu akan berasa takut dan gerun untuk membuat perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah kerana mereka yang melakukan kejahatan sepanjang hidup di dunia akan mendapat azab siksa dariNya di alam barzakh selain mendapat balasan neraka Allah S.W.T di akhirat kelak.
Setelah seseorang itu meninggal dunia, dia akan di masukkan ke alam lain yang merupakan permulaan bagi kehidupan yang kekal iaitu Alam Barzakh atau Alam Kubur. Alam ini merupakan tempat persinggahan sementara sebelum memasuki Alam Akhirat. Oleh itu, Alam Barzakh terletak antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Setiap individu manusia itu pasti akan melalui empat alam, iaitu:
1. Alam Ruh ( sebelum manusia dilahirkan ke dunia lagi)
2. Alam Dunia.
3. Alam Barzakh atau Alam Kubur
4. Alam Akhirat ( bermula sejak manusia dibangunkan dari Alam Barzakh dan seterusnya, iaitu di padang mahsyar dan alam syurga atau neraka).
Semasa di alam Barzakh ini, seseorang yang mati itu akan disoal oleh dua malaikat iaitu Malaikat Munkar dan Nakir a.s. Oleh itu, di alam ini seseorang itu menerima balasan baik dan siksa kubur berdasarkan jawapan-jawapan yang disoal oleh mereka. Soalan-soalan yang akan disoal adalah seperti siapakah Tuhanmu, siapakah Rasulmu, apakah agamamu, apakah pegangan hidupmu (kitab) dan sebagainya. Ketika itu, tidak ada seorangpun yang dapat berbohong. Semua pertanyaan yang disoal oleh mereka akan dijawab dengan jujur, sesuai dengan kenyataan yang di amalkan di dunia dulu.
Oleh itu, setiap muslim hendaklah sentiasa mengingati mati dengan cara beribadat dengan bersungguh-sungguh kepada Allah Taa’la. Antara ibadat-ibadat yang boleh mendekatkan diri seseorang muslim kepada Allah ialah memperbanyakkan membaca al-Quran serta maknanya, memperbanyakkan puasa sunat, sentiasa berzikir mengingati Allah, sentiasa menuntut ilmu-ilmu agama dari para alim ulama’ dan banyak lagi.
wallahu a'lam. sama2 kita renung2 kan..
0 comments:
Post a Comment