Thursday, November 26, 2009

kiamat kecil 4




assalamualaikum..

Setiap manusia pasti akan menemui ajal yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dalam catatan Loh Mahfuz-Nya. Ajal pasti akan menjemput setiap insan pada bila-bila masa dan tempat, walaupun kita cuba bersembunyi dan melarikan diri ke dalam benteng yang tinggi sekalipun. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam al-Qur'anul Karim;

Maksudnya:

“Di mana kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah. Jika pula mereka di timpa bencana, mereka berkata: Ini adalah daripada (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) daripada sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?” (Surah An-Nisa’: 78)


Justeru itu, setiap muslim hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dan mempersiapkan diri dengan amalan-amalan yang mencukupi sebagai bekalan menuju ke alam yang lebih hakiki iaitu alam akhirat. Persiapan awal amatlah penting bagi kita kerana peluang untuk kita menjalani kehidupan di dunia ini hanyalah sekali. Tiada lagi peluang kedua untuk kita melakukan ibadah serta menjalani kehidupan seharian apabila seseorang muslim itu melangkah ke alam Barzakh.


Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa sesungguhnya orang paling bijaksana dikalangan umat Islam ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian, manakala orang yang paling lemah pula ialah orang yang terikut pujukan hawa nafsu dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud. Pengajaran yang boleh kita perolehi dari hadis ini ialah, seorang muslim yang bijak di dalam menjalani kehidupan di dunia ialah mereka yang sentiasa bermuhasabah diri dan melakukan segala ibadat dan amal soleh sebelum tiba saat kematian.


Sebaik-baik cara bagi orang yang beriman dan takut kepada kemurkaan Allah S.W.T ialah dengan sentiasa bermuhasabah diri. Salah satu cara yang terbaik ialah sebelum tidur, hendaklah kita merenungi semula apa yang telah di lakukan pada hari tersebut sama ada perbuatan yang mendatangkan pahala ataupun dosa. Kemudian, kita hendaklah memperbaharui taubat nasuha kita kepada Allah S.W.T. Selepas itu, barulah kita tidur dan berjanji tidak akan melakukan dosa-dosa yang sama lagi pada masa yang akan datang. Amalan bermuhasabah diri sebelum tidur ini hendaklah dilakukan pada setiap malam sebelum kita tidur supaya jika kita ditakdirkan mati pada malam itu, kita akan mati di dalam keadaan bertaubat, insyaAllah.


Rasulullah s.a.w ada menyebut di dalam hadisnya dalam Sahih Muslim dari riwayat Jarir bin Abdullah berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya:
“Sesiapa yang menganjurkan di dalam Islam suatu perbuatan yang baik, maka dia akan memperoleh pahalanya dan pahala orang yang membuatnya sesudah dia mati tanpa dikurangi barang sedikitpun dari pahala-pahala mereka. Dan sesiapa yang menganjurkan di dalam Islam suatu perbuatan yang buruk, maka dia akan memperoleh dosanya dan dosa orang yang membuatnya selepas itu tanpa dikurangi barang sedikitpun.”


Selain itu, Rasulullah s.a.w juga telah memberikan garis panduan yang amat berguna kepada umatnya melalui sabda baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a dalam Sahih Muslim.:

Maksudnya:
“Apabila seorang manusia mati akan terputuslah daripadanya segala amalannya kecuali tiga perkara: amalan sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan doa anak yang soleh yang mendoakan baginya”


Di dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w menyebut bahawa amalan-amalan utama yang dapat membantu roh seseorang muslim sesudah ia meninggal dunia ialah sedekah jariah, menimba ilmu pengetahuan dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya. Ketiga-tiga amalan ini merupakan amalan-amalan yang perlu dilakukan sebagai bekalan amal yang bakal dibawa menuju ke alam baqa’.


Amalan sedekah jariah atau mendermakan seluruh atau sebahagian harta pada jalan Allah S.W.T merupakan perkara yang amat digalakkan kepada umat Islam. Islam mengajar umatnya supaya tidak bersifat sombong dan tamak terhadap kemewahan dan harta yang dimiliki, sebaliknya kita hendaklah bersifat dermawan terhadap mereka yang fakir dan kurang bernasib baik di samping sentiasa bersedia membelanjakan harta demi memartabatkan agama Islam yang tercinta. Allah S.W.T juga ada menyebut di dalam Al-Qur'an mengenai kepentingan membelanjakan harta pada jalan-Nya. Firman Allah Taa’la:

Maksudnya:
“Belanjalah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan agama Allah) dan jangan kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersifat bakhil). Baiki (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesunggguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbanyakkan amalannya" ( Surah Al-Baqarah:195 )


Membelanjakan harta pada jalan Allah bukan hanya membelanjakan harta melalui jihad dan perjuangan menegakkan Islam, tetapi turut mencakupi amalan bersedekah, menunaikan zakat, menderma, wakaf, bersedia membelanjakan harta kepada ahli keluarga dan kaum kerabat serta sumbangan kebajikan demi kepentingan masyarakat umum terutamanya kepada anak-anak yatim dan orang-orang miskin.


Amalan kedua yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam hadis di atas, ialah menimba ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang di tuntut untuk kita menimbanya termasuklah ilmu duniawi dan ukhrawi kerana Islam mementingkan antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya supaya menuntut ilmu pengetahuan kerana setiap amalan dapat dilakukan apabila seseorang itu menuntut ilmu. Allah S.W.T juga mengangkat martabat bagi seseorang muslim yang berilmu berbanding mereka yang tidak berilmu.


Selain itu, para malaikat dan seluruh makhluk akan turut mendoakan sesiapa yang menghadiri majlis ilmu. Hanya dengan ilmu pengetahuan seseorang individu muslim itu dapat melaksanakan ibadat kepada Allah dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa keraguan di samping meningkatkan tahap keimanan kepada-Nya. Rasulullah s.a.w juga banyak menerangkan kepada umatnya mengenai kelebihan menuntut ilmu. Antaranya sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud;


“ Tuntutlah ilmu kerana amalan menuntut ilmu akan menghmpiri dirimu kepada Allah, mengajarkan ilmu kepada orang lain satu amalan sedekah. Sesungguhnya ilmu itu akan mengangkat seseorang ke darjat kemuliaan dan kebijaksanaan. Ilmu itu juga akan menjadi perhiasan indah orang berilmu di dunia dan akhirat."


Oleh itu, kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w hendaklah mengikuti apa yang diberitahu oleh baginda sepertimana hadis di atas yang menyebut kelebihan menuntut ilmu pengetahuan. Antaranya dengan cara sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu, selalu berjumpa dengan para ulama’, membaca kitab-kitab agama serta mendalami ilmu-ilmu fardu ain dan fardu kifayah seperti ilmu perubatan, ilmu undang-undang, ilmu ekonomi, ilmu politik dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini sangat penting bagi kita kerana dapat memberi kesejahteraan hidup di dunia dan yang lebih penting lagi kehidupan di akhirat kelak.


Seterusnya perkara ketiga yang pahalanya berterusan selain amalan bersedekah dan menimba ilmu pengetahuan ialah doa dari anak yang soleh kepada kedua-dua ibu bapanya yang sudah meninggal dunia. Anak-anak yang soleh merupakan harta sangat bermakna dan juga harta pelaburan jangka panjang bagi mereka yang bergelar ibu bapa. Seseorang muslim hendaklah mengasuh dan mendidik anak-anaknya supaya sentiasa mentaati perintah Allah S.W.T dan menjadi anak yang baik dan soleh.


Selain itu, para ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka supaya sentiasa berdoa terutamanya mendoakan kesejahteraan bagi keduanya. Alangkah beruntungnya apabila seseorang yang bergelar ibu atau bapa sudah meninggal dunia, kemudian anaknya yang masih hidup pula sentiasa mendoakan kesejahteraan bagi mereka. Mengikut pendapat jumhur ulama’, pahala amalan doa daripada orang yang masih hidup di dunia akan sampai kepada orang yang sudah meninggal dunia. Oleh itu, anak-anak perlulah sentiasa mendoakan ibu bapanya yang sudah meninggal dunia supaya mereka sentiasa berada di dalam kesejahteraan di alam akhirat.


Secara kesimpulannya, setiap umat Islam hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dan membuat persediaan awal sebelum tiba saat kematian. Antara amalan-amalan penting yang merupakan pahala berterusan setelah kita meninggal dunia ialah amalan sedekah jariah, menimba ilmu dan amalan doa dari anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya yang sudah meninggal dunia. Amalan-amalan ini telah di sebut oleh baginda Rasulullah s.a.w di dalam Sahih Muslim sebagai sumber panduan yang amat berguna untuk kesejahteraan kita sebagai umatnya. Wallahua’lam.


0 comments:

Post a Comment