Thursday, November 12, 2009

kiamat kecil 2





assalamualaikum..

Kematian adalah suatu kemestian bagi setiap manusia di muka bumi ini dan merupakan kiamat kecil bagi manusia. Oleh itu, terdapat juga tanda-tanda kematian yang diberikan oleh Allah bagi sesiapa sahaja yang dikehendakinya sebelum tibanya saat kematian. Antara tanda-tanda tersebut ialah:


1)Tanda 100 hari sebelum mati

Ini adalah tanda pertama dari Allah S.W.T kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakiNya. Walau bagaimanapun, semua orang Islam akan mendapat tanda ini sama ada mereka sedari atau tidak sahaja. Tanda ini secara lazimnya akan berlaku selepas waktu Asar. Seluruh tubuh dari hujung rambut hingga hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru sahaja disembelih yang mana jika kita perhatikan dengan teliti, daging tersebut seakan-akan bergetar.

Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar akan terdetik bahawa ini adalah tanda mati. Maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan dunia tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Manakala bagi mereka yang menyedari kehadiran tanda ini, maka ini adalah peluang terbaik bagi memperbanyakan amalan dan bertaubat terhadap Allah Taa’la sebagai persediaan untuk ke alam seterusnya iaitu alam Barzakh dan kehidupan yang lebih hakiki iaitu di akhirat kelak.



2)Tanda 40 hari sebelum hari mati.

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Walaupun, malaikat maut cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah yang akan dicabutnya.


3)Tanda 7 Hari Sebelum Mati

Tanda ini akan hanya diberikan kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

4)Tanda 3 Hari Sebelum Mati

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri, Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang hendak memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Selain itu, telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Manakala, telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.


5)Tanda 1 Hari Sebelum Mati

Tanda ini akan berlaku sesudah Asar dimana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun. Ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.


6)Tanda Akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.


Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah memelihara dirinya daripada melakukan dosa-dosa besar dan berterusan melakukan dosa-dosa kecil supaya mendapat kemudahan untuk menghadapi kematian dan kebahagiaan kehidupan di sana..Sesungguhnya setiap manusia itu tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan perkara-perkara dosa yang dilakukan oleh hati dan pancainderanya. Justeru itu, kita hendaklah segera bertaubat kepadanya dengan cara menyesali segala dosa-dosa yang pernah dilakukan, serta memohon kemaafan daripada orang lain disamping bertekad tidak akan mengulanginya lagi.

Abu Talib Makki berpendapat bahawa dosa-dosa besar itu hanya merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis. Beliau berpendapat dosa-dosa besar itu terbahagi kepada tujuh belas perkara yang dilakukan oleh pancaindera dan hati manusia iaitu:

Empat darinya adalah dari pekerjaan-pekerjaan hati iaitu

1. Mempersekutukan Allah S.W.T

2. Berterusan dalam melakukan maksiat terhadap Allah S.W.T.

3. Berputus asa dari rahmat Allah S.W.T

4. Merasa aman dan selesa dari rancangan Allah S.W.T

Manakala empat adalah dari pekerjaan-pekerjaan lidah iaitu:

1. Bersaksi palsu.
2. Melemparkan tuduhan zina terhadap orang yang suci dan bertaqwa
3. Yamin al-qhomus. Yang bermaksud sumpah yang membatalkan yang hak dan membenarkan yang batil (seorang yang menyebabkan harta seorang muslim itu di ambil secara zalim walaupun sebatang duri dari pokok kayu siwak.)
4. Sihir,iaitu dari perkataan ataupun perbuatan yang membalikkan sesuatu ‘ain (benda atau perkara) ataupun menukar seseorang manusia ( dari tidak suka menjadi suka atau sebaliknya ataupun menukar sesuatu dari asal keadaan sebagaimana ianya telah diciptakan.


Seterusnya,tiga lagi dari perut iaitu:1. Meminum arak dan minuman-minuman lain yang memabukkan
2. Memakan harta anak yatim dengan cara yang haram
3. Memakan riba’ dengan ilmu pengetahuan mengenainya.

Dua lagi dari kemaluan iaitu:

1. Berzina
2. Meliwat

Manakala dua lagi dari tangan iaitu:

1. Membunuh
2. Mencuri

Satu dari perbuatan kaki iaitu:

Melarikan diri dari medan pertempuran (dengan orang-orang kafir)Satu bagi seluruh tubuh iaitu:

Menderhakai kedua ibu bapa termasuklah melawan kata-kata mereka, memukul mereka dan tidak menunaikan hak-hak mereka seperti tidak memberi makan kepada mereka ketika mereka lapar.

Terdapat banyak kisah-kisah yang boleh dijadikan teladan bagi umat Islam terutamanya ketika di zaman baginda Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya kisah seorang lelaki yang bernama Alqamah sukar untuk mengucap dua kalimah syahadah ketika matinya, kerana dia mengutamakan isterinya dari ibunya sendiri. Alqamah ialah seorang yang amat taat kepada perintah Allah, rajin mengerjakan solat, berpuasa, berzikir dan bersedekah. Walaupun dia seorang yang sentiasa mentaati Allah, tidak melupai tanggungjawabnya sebagai seorang suami, bapa, dan anak namun ketika dia sedang nazak dia sukar untuk mengucap dua kalimah syahadah. hal ini disebabkan dia melebih-lebihkan isterinya dan kurang memberi perhatian kepada ibunya sendiri. Hal ini menyebabkan ibunya berasa marah terhadapnya. Lalu Rasulullah menyuruh Bilal dan sahabat-sahabat yang lain supaya mencari kayu api untuk membakar Alqamah di hadapan ibunya.


Ibu Alqamah terkejut mendengar kata-kata baginda s.a.w. Kemudian baginda Rasulullah s.a.w menjelaskan lagi bahawa siksa Allah adalah lebih dahsyat dan kekal. Baginda menyuruh ibu Alqamah supaya memaafkan anaknya itu, agar segala ibadah yang dilakukan oleh Alqamah seperti solat, puasa dan sedekah tidak sia-sia tetapi di terima oleh Allah Taa’la serta tidak mendapat azab siksa dariNya. Setelah mendengar ulasan baginda s.a.w, ibu Alqamah terus memaafkan segala dosa-dosanya yang pernah dilakukan terhadapnya. Selepas ibunya memaafkan dosa-dosanya, dengan izin Allah S.W.T, Alqamah dapat mengucap dengan baik.


Kisah diatas menunjukkan bahawa, keredhaan Allah S.W.T seiring dengan keredhaan ibu, dan begitu juga kemarahan Allah seiring kemurkaan ibu. Seperti kata pepatah, "syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu”. Pengajaran yang diperolehi daripada kisah ini ialah setiap manusia hendaklah berbuat baik pada ibu mereka tanpa mengabaikan mereka. Walaupun kita hidup di dunia ini penuh dengan beribadat kepada Allah S.W.T, namun sekiranya kita tidak berbuat baik kepada ibu atau bapa akan menyebabkan segala ibadat yang dilakukan itu hanyalah sia-sia sahaja dan tidak diterima olehNya.


Kesimpulanya, setiap muslim hendaklah sentiasa mengingati kematian kerana perkara itu pasti berlaku kepada kita. Allah S.W.T juga telah memberikan tanda-tanda tertentu supaya kita tidak terus terleka kepada kenikmatan dunia dan melupakan kehidupan yang lebih abadi di akhirat kelak. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa beribadat dan bertaubat kepada Allah Taa’la dan tidak melakukan perkara-perkara dosa dan maksiat. Contohnya, meminum arak, membunuh, berzina dan menderhakai ibu bapa. Dosa-dosa tersebut jika kita berterusan melakukannya dan tidak bertaubat dengan segera akan mengundang kemurkaan Allah S.W.T seperti sukar untuk mengucap ketika nazak dan mendapat azab siksaNya di akhirat kelak.

wallahu a'lam. sama2 lah kita renung2kan.

0 comments:

Post a Comment