Tiada siapa yang memberitahu,
Tiada siapa pun dapat hindari,
Tiada siapa yang berkecuali,
Lemah jemari nafas terhenti,
Tidak tergambar sakitnya mati,
Cukup sekali tak sanggup untuk ku mengulangi.
Cuba kita renungi bait-bait lagu ini. MATI? Pernahkah terdetik di hati kita bagaimanakah ajal kita nanti? Adakah kita akan mati dalam husnul khotimah atau sebaliknya.
Firman Allah yang bermaksud; “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah Al-A’raf: 34)
Tiada satu makhluk pun yang mengetahui bilakah ajalnya akan tiba. Mungkin esok, lusa, atau mungkin sesaat sahaja lagi. Hikmahnya supaya kita sentiasa mengabdikan diri kepada Rabbul Jalil.
Marilah kita muhasabah diri kita kembali, berapa peratuskah dalam hidup ini, kita telah habiskan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan berapa banyakkah masa yang telah hati kita telah lalai dari mengingati-Nya.
Mungkin adakalanya kita menangis kerana terlalu rindukan keluarga di Malaysia, ataupun sesorang tercinta tetapi pernahkah kita menangis kerana amat rindu untuk berjumpa dengan Khaliq yang telah mencipta dan melimpahkan segala nikmat-Nya pada kita.
Para solihin tidak langsung berasa takut untuk mati kerana merasakan bahawa mati itu adalah syarat untuk mereka berjumpa dengan kekasih yang mereka cintai, Rabbul Izzati. Mereka sentiasa menantikan dan merindukan detik-detik pertemuan dengan Allah S.W.T. Berbeza dengan sesetengah daripada kita yang takutkan mati kerana tidak mahu kehilangan nikmat hidup di dunia yang fana.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Munafiqun: 9)
Justeru itu, marilah kita mempersiapkan diri untuk menghadapi ‘SATU HARI YANG PASTI’ itu. Perbanyakkanlah solat sunat, qiamulail, membaca Al-Quran, bersedekah serta menghadiri majlis ilmu. Sujudlah memohon keampunan Allah dan bertaubat pada-Nya. Pintu taubat Allah sentiasa terbuka untuk hamba-hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Imran: 133)
Sebelum kita tidur pada setiap malam, cubalah fikirkan, “Kalaulah aku mati ketika aku sedang tidur, apakah nasibku? Sudah langsaikah segala hutangku dengan Allah, manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Adakah matiku ini dalam keadaan diredhai oleh Allah ataupun sebaliknya?”
Sekiranya kita selalu berfikir tentang mati dan azab kubur, InsyaAllah kita akan merasa takut untuk melakukan maksiat kepada Allah kerana takutkan azab-Nya yang maha pedih.
Lebih baik kita menyesal dan menangis ketika ini daripada kita menyesal di alam barzakh kelak. Fikir-fikirkanlah dan hitunglah segala dosa kita. Hakikatnya, manusia adalah makhluk yang lemah, tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Namun ingatlah, Allah itu Maha Pengampun.
Berkata Imam Syafie ketika beliau sakit yang membawa kepada kematiannya: “Ketika hatiku menjadi keras dan pernafasanku sempit, aku menjadikan harapan untuk mencapai keampunan-Mu sebagai tangga. Dosaku sangat besar, namun ketika kubandingkan, ternyata keampunan daripada Tuhanku adalah lebih besar.”
Ayuh kita berfikir sejenak, sudah cukupkah amal ibadat kita untuk diadili di mahkamah Ilahi nanti? Semoga kita sama-sama dapat menjadi penghuni syurga yang abadi. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment